Bab 49: Pertemuan Semula (2)

44 10 0
                                    

LIAM memberhentikan kereta di lampu trafik kerana ia sedang merah. Dia mahu mengambil keputusan ujian DNA di antara Mazhe dan Niel di hospital, seperti yang disuruh oleh Zull pada sebelum ini. Keputusan itu sudah lama siap, tetapi dia tidak dapat mengambilnya kerana kekangan masa. Malah, Tuan Mudanya itu tidak begitu menggesanya. Jadi, ia mungkin bukan sesuatu yang penting kerana jika ia penting, Tuan Muda pasti akan menggesanya.

Liam melilau di kawasan lampu trafik itu kerana kebosanan. Kemudian, dia dapat melihat beberapa kereta polis melalui jalan yang sama dengannya. Semua kereta memberi laluan kepada rombongan polis tersebut. Dari keadaan yang dilihat itu, mereka nampaknya sedang menghadapi situasi kecemasan. Liam sekadar memerhati. Setelah lampu bertukar hijau, Liam menukar gear dan meneruskan perjalanan ke hospital. Apabila menapak sahaja di kawasan hospital, siren polis kedengaran dengan kuat di dalamnya. Ia bermakna kecemasan itu berpunca di hospital.

...

Di Hospital Bandar Bukit Berapi, 30 minit sebelum itu,

JOSHUA dan Niel sedang makan pagi di kafe hospital. Mereka kebosanan menunggu di depan wad, oleh itu mereka mengambil keputusan untuk makan pagi di kafetaria hospital. Sekarang tepat jam pukul 10.00 pagi. Perut mereka telah berbunyi, jadi mereka mahu makan pagi terlebih dahulu. Ibu bapa Ayumi bersama-sama Ayumi di dalam wad, manakala Dilan sedang berjaga di luar wad Ayumi kerana tidak mahu menyakitkan hati ibu Ayumi.

"Dilan, kau tak dapat visi lagi ke?" soal Joshua di hujung talian dengan Dilan sambil mengunyah makanan.

"Tak, aku pun pelik juga tak dapat visi sejak Zull beritahu aku pasal penjahat tu." Balas Dilan sambil menyandarkan badan ke kerusi di luar wad.

"Dah fikir ke nak makan apa? Kau perlu makan juga Dilan, sarapan pagi tadi tu kau hanya makan sikit aje." duga Joshua dan ia membuatkan Dilan mengeluh.

"Kau beli roti jelah untuk aku. Aku tak lalu nak makan."

"Ala, kau ni. Bukan kau yang sakit, Ayumi yang sakit. Lagi pun, bukannya salah kau dia cedera. Rilekslah. Aku bungkuskan kuetiau goreng, roti tak kenyang sangat. Nanti kau jadi macam adik aku tu, asyik makan roti untuk tengahari. Itu yang dia tak pernah gemuk-gemuk dan tinggi, pastu salahkan rambut dia yang makin kembang, padahal dia yang tak reti basuh rambut. Jangan nanti dia salahkan dietitian sudah."

Dilan tergelak kecil. Dia bersyukur mempunyai kawan yang memahami dan risau akan keadaannya seperti Joshua dan Zull. Dua beradik itu memang nakal, tetapi mereka sama-sama risaukan orang lain melebihi diri mereka.

"Baiklah, terima kasih Joshua. Maaf menyusahkan kau."

"Benda kecik Dilan oi, celah gigi je ni." Balas Joshua dan terus menutup talian.

Setelah itu, Dilan menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan berat di kerusinya itu. Joshua pula memandang Niel. Oleh itu, Niel mengecilkan matanya tanda pelik.

"Kenapa kau pandang aku macam tu?" soal Niel.

"Senyap je kau tadi masa Dilan cakap nak ke wad. Tak cuba pujuk dia pun untuk makan dulu."

"Kenapa kau cakap macam tu? Aku tak boleh nak pujuk Dilan."

"Apesal pulak?"

"Korang baru aje kenal aku. Dan aku pun tak kenal lagi Dilan tu macama mana, tak macam kau dan Zull yang dah lama kenal dia. Kalau aku menyampuk, aku takut nanti Dilan rasa semak je. Kalau aku ada masalah dan korang tiba-tiba cuba selesaikan masalah aku, aku pun akan rasa benda yang sama dan akan rasa korang ni sangat menjengkelkan." jelas Niel. Joshua mengangguk tanda bersetuju.

"Betul cakap kau. Betul, betul." sokong Joshua.

"Maaf nak cakap ni, tapi adik kau memang 'annoying' pada aku." kata Niel berterus-terang. Disebabkan itu, Joshua terus ketawa.

OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)Where stories live. Discover now