Bab 36: Hari yang hening

68 6 0
                                    

PADA pagi itu, Dilan menuju ke dapur dan mula menyediakan sarapan. Dia hanya membuat sandwich sardin memandangkan ia merupakan sarapan yang ringkas dan senang disediakan. Pada tengah hari nanti dia akan memasak nasi dan lauk pula. Sewaktu memasak sardin, Zull turut menuju ke arah dapur.

"Kau masak apa Dee?" soal Zull yang sudah siap memakai baju kemas. Dilan pula hanya memakai kain pelikat dan baju Tee berlengan pendek.

"Sandwich sardin. Baru bangun?"

"Um, aku nak keluar selepas ni."

"Apa? Lagi? Semalam pun kau dah keluar kan, pukul berapa kau balik semalam?"

"Entah, aku tak tengok jam."

"Kali ni kau nak pergi mana?"

"Jumpa anak beruang dalam sangkar. Kesian betul anak beruang tu. Kau tak perlu risaulah."

"Sudah tentulah aku risau. Kau sudah tak lekat rumah dah sekarang ini. Asyik keluar aje. Susah betul aku nak luang masa dengan kau."

"Eh, kau ingat kau siapa!? Nak luangkan masa dengan kau buat apa? Kau tahu tak aku selalu keluar rumah sebab aku tak nak tengok muka kau, meluat! Makin banyak jerawat aku naik. Daripada aku tengok kau lebih baik aku tengok tapak kaki aku. Aku rasa tapak kaki aku dah besarlah. Aku membesar lagi kut...Kasut aku dah ketat."

"Aku tak tanya pun pasal kaki kau."

"Kau ingat aku bagitahu kau, aku sedang bercerita dengan telinga kau, bukannya dengan kau. Kau tak payahlah nak menjawab bagi pihak telinga kau tu. Hei, susah betul bercakap dengan manusia macam kau ni. Kau nak aku tolong apa-apa ke?"

"Tak apalah, aku dah nak siap ni..."

"Kalau macam tu aku tolong makan ajelah." Zull terus menarik kerusi untuk duduk dan menjamu selera.

"Oh, kejap kau tolong buatkan air teh hijau panaslah..."

"Hei, engkau ni. Aku dah duduk baru kau nak suruh. Aku tanya tadi kata tak ada apa yang perlu aku tolong. Kau tahu benda apa yang paling payah dalam dunia ni, bangun selepas duduk tahu tak. Kalau aku selesa duduk tadi, memang kau dah kenalah dengan aku. Nasib baik aku tak selesa. Pagi-pagi lagi buat hal. Kalau aku cakap kau ni penyangak kau marah, kau memang penyangak sebab suka sakitkan hati orang Dee...Berapa sudu gula?"

"Dua sudu."

"...Aku tak faham betul-lah dengan kau ni. Lain kali cakaplah awal-awal. Ada air panas tak?"

"Ada, dalam termos sebelah cerek tu."

Zull terus menuangkan air panas daripada termos ke dalam jag air. "Haih, aku tegur kau lebih-lebih nanti takut kau merajuk aje. Kau ni kalau merajuk, tak bercakap dengan aku seharian. Aku juga kena pujuk. Nasib baiklah aku ni pandai memujuk, kalau tak sampai kesudah kau tak bertegur-sapa dengan aku. Aku ingat lagi masa kali pertama aku jumpa kau. Aku tanya soalan kau hanya nangis aje. Bengang gila aku. Aku rasa macam nak tarik aje rambut kau tu."

"Memanglah aku menangis sebab Ummi aku baru aje meninggal."

"Aku fahamlah, aku tak adalah bongok sangat. Tapi, aku suruh kau angguk-geleng pun kau tak nak, hanginlah aku."

"Hahaha, yalah. Masa tu aku muda lagi."

"Eleh, mana abang aku dan budak pungut tu?"

"Dalam bilik lagi kut. Zull janganlah panggil Harun macam tu, tak baiklah."

OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)Where stories live. Discover now