...
UNGU dan Kelabu melihat Tina yang sedang pengsan dengan wajah risau. Sebaik sahaja TBM masuk ke dalam sarkas ini tadi, suasana tempat itu sudah berubah, lalu Ungu serta Kelabu telah terpisah dari Maroon dan Puteh. Kemudian, semasa melilau mencari jalan keluar, mereka terserempak dengan Tina dan Mina yang sedang tergantung dan berada di dalam kepompong. Serentak itu juga, Ungu dan Kelabu menolong Mina dan Tina dengan memutuskan bebenang yang menggantung dan melilit mereka. Usai melakukannya, Kelabu dan Ungu sama-sama mendapatkan Tina dan menunggu Tina membuka mata. Tina ialah wanita yang mereka berdua sukai, jadi keadaan Tina merisaukan mereka berdua.
Mina membuka matanya dengan perlahan-lahan. Tika itu, Ungu dan Kelabu sedang membelakanginya dengan duduk mencangkung dan kedua-dua mereka sedang memerhatikan Tina yang masih tidak sedarkan diri. Mina menenyeh matanya dan kemudian duduk bersila.
"Aaaaaa." Mina menguap dan menggeliatkan badannya, "Eh, ini masa yang tepat ke nak bersenang-lenang? Aku buat apa yang tadi? Oh ya...Oh. Tina?"
Mina mula tersedar yang dia dalam misi yang penting bersama Tina. Oleh itu, dia melihat ke sekelilingnya dan dapat melihat dua rakan perjuangan TBM itu masih memerhatikan Tina. Mina mengecilkan matanya.
"Apa yang korang sedang lakukan dengan kawan aku tu ha?" soal Mina garang sambil bingkas bangun dan menuju ke arah mereka. Kelabu dan Ungu sama-sama berpaling.
"Ah, awak dah bangun? Nak saya sembuhkan luka awak ke?" duga Kelabu dengan senyuman nipis.
"Tak perlu, apa yang korang buat dengan kawan aku hah?" soalnya lagi.
"Um, tak ada apa. Hanya melihat kecantikan alam semulajadi. Ehehe." Balas Ungu dengan nada nakal.
"Jangan nak membongak. Nak tengok alam semulajadi, sila pergi ke hutan." Bidas Mina dan duduk di sebelah Tina dan kemudian cuba membangunkan Tina dengan menggerakkan tubuh badan Tina.
"Oi, Tina bangun! Bangun!" gerak Mina sambil menggoyangkan badan Tina dengan memegang kedua-dua bahu Tina dengan kasar.
"Janganlah kasar sangat, kasihan dia." Celah Kelabu apabila tidak suka melihat Mina terlampau kasar dengan Tina.
"Hm." Mina menghiraukannya dan kemudian menampar pipi Tina dengan perlahan tanda protes dengan permintaan Kelabu. Serentak itu, Tina terus terbangun.
"Dilan!" Tina menjerit dan terus terbangun dari pengsannya. Ia telah membuatkan Kelabu sedikit kecewa apabila mendengarnya. Ungu pula hanya mengeluh ringkas.
"Ish! Kau ni tak habis-habis dengan Dilan! Kau mimpikan dia ke?" Mina mencebik.
"Um, aku mimpikan dia. Aku bermimpi dia bersama perempuan lain. Kau ke yang tampar aku tadi?"
"Er, kalau ya kenapa?"
"Terima kasih Mina sebab aku tak suka mimpi tu. Huuuuu. Dilan harus jadi milik aku sorang je." Rengek Tina sambil memeluk leher Mina dan menangis manja. Mina merengus kerana rasa ia menjengkelkan pula.
Kelabu hanya menundukkan kepalanya apabila mendengar kata-kata itu. Dia tidak perlu sedih kerana dia telah berjanji dengan Ayumi untuk melupakan Tina. Jadi, dia perlu tabah. Tina memang sangat sesuai dengan Dilan. Dia sepatutnya mendoakan kebahagiaan kedua-duanya, bukan bersedih begini. Apa yang tidak ditakdirkan menjadi miliknya, tidak akan menjadi miliknya walaupun dia berusaha sampai ketiaknya lencun dengan peluh kerana terlampau berusaha.
"Uh, awak okey? Ada luka di mana-mana ke? Kalau ada saya boleh sembuhkan." soalnya kerana mahu mengalihkan topik.
Tina dan Mina sama-sama memandangkan ke arah Kelabu dan juga Ungu yang sedang duduk beralaskan kaki di hadapan mereka berdua.
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...