"Stalagmit Ais!" laung seseorang itu dan terus menerpa ke arah Charles dengan laju bersama-sama stalagmit aisnya.
Charles cuba mengelak serangan mengejut dari seseorang itu atau Puteh, namun kakinya tidak dapat bergerak. Dia melihat ke arah kakinya dan dapat melihat kakinya telah melekat dengan lantai berais. Dia mendecis dan terus menyeru senjatanya apabila Puteh sudah menghampirinya. Dia terlalu ingin membunuh Biru sehingga dia terleka dengan keadaan sekelilingnya. Lagipun, dia tidak menjangkakan kedatangan rakan seperjuangan Biru untuk datang seawal ini memandangkan tadi hanya Hijau dan Biru sahaja yang memasuki sarkas. Jani tidak memberitahunya apa-apa, mesti Jani juga sedang didatangi oleh pihak musuh juga.
Charles menggunakan dua bilah pedangnya untuk menangkis stalagmit ais yang sedang melayang dan menuju ke arahnya. Setelah itu, dia menahan serangan dari Puteh yang menyerangnya dengan Pedang Opak Biru. Mereka berlawan pedang di tempat yang statik kerana kaki Charles telahpun dibekukan. Walaupun, kakinya telah dibekukan, dia masih lagi dapat berlawan pedang dengan Puteh dengan sangat baik. Maknanya, kaki yang sedang melekat tidak menjadi masalah besar pun baginya.
Semasa Puteh sedang berlawan, dia sebenarnya sedang fokus untuk menyeru kuasa aisnya yang lain. Dia masih ingat yang Hash pernah mengatakan bahawa mereka boleh menggunakan kuasa dengan serentak jika mereka tekun dan rajin berlatih. Malah, Zull juga pernah memberitahunya bahawa imaginasi yang kuat sangatlah memberi kesan untuk meningkatkan kuasa. Dia telah melihat Zull berlawan tanpa membunyikan suara untuk menyeru kuasanya, jadi dia juga mahu mencapai tahap itu. Kata-kata Amir juga terngiang-ngiang di telinganya, yakni dia tidak boleh ragu-ragu dengan keupayaannya selagi dia tidak mencuba. Perasaan ragu-ragu itulah yang akan menyekat kemajuan dan kemaraannya. Jadi, dia patut berhenti. Berhenti terlalu berfikir banyak.
"Hi-yaaaaaah!"
Puteh melaung dengan kuat dan telah menyebabkan kuasa aisnya melitupi tempat itu dengan cepat tanpa sempat mata berkedip. Kuasa ais itu merebak dengan cepat sehinggalah Charles telah beku di situ. Serentak itu juga, Puteh terus berpaling ke arah Biru yang berada di dalam tanah jerlus. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Biru juga membeku. Tanpa berfikir panjang, dia terus mencairkan ais di sekeliling Biru dan Biru telah tersedar sebaik sahaja Puteh mencairkan ais di kepalanya.
"Awaaa...awak bekukan saya sesesekali Puteh..." ujar Biru dengan terketar-ketar.
"Maaf, Biru. Maaf."
Kemudian, Puteh terus menarik badan Biru keluar dari tanah jerlus tersebut. Hasil dia menarik badan Biru di dalam tanah jerlus itu dengan kuat telah menyebabkan Biru terjatuh dalam dakapannya dan mereka terbaring di atas lantai berais itu untuk seketika. Disebabkan itu, Biru dapat merasai degupan jantung milik Puteh memandangkan telinganya betul-betul terjatuh di atas dada Puteh. Perkara itu telah menyebabkan jantung Biru berdegup dengan agak kencang, lalu dia cepat-cepat beralih dari badan Puteh dan duduk bersimpuh di sebelah badan Puteh.
Puteh bangun dari baring dan terus memandang ke arah Biru. "Awak okey? Awak ada cedera di mana-mana ke?"
Biru menggelengkan kepalanya dengan laju. "Tak ada, tak ada. Semua okey. Badan okey, tangan okey, kaki okey dan kepala okey. Hati saya aje yang tak okey. Haha!"
"Kenapa dengan hati awak? Sakit ke? Kita perlu cari Kelabu, mungkin dia boleh rawat hati awak."
"Ah tak perlu. Sekejap lagi dia okey, dia memang mengada sikit. Pantang nampak lelaki segak sikit. Walaupun saya tak tahu siapa awak disebalik topeng, tapi saya dapat rasa awak segak. Ah, lupakanya, terima kasih sebab selamatkan saya Puteh. Macam biasa, awak memang selalu menjadi penyelamat kami."
"Bukan hal besar. Kita memegang misi dan visi yang sama, jadi kita patut membantu satu sama lain. Um, saya minta maaf sebab terpeluk awak tadi."
"Eh...! Tak, tak apa sebab awak dan saya tak sengaja pun. Kalau disengajakan, kita berdua memang dah berdosa. Hahaha."
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...