...
Di Rumah Fafa, Pukul 9.30 Malam.
FAFA menutupi hampir seluruh badannya dengan selimut. Dia sedang menangis. Petang tadi, kawan baiknya Azwa telah cedera parah dalam serangan raksasa di sekolah. Azwa telah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya yang memerlukan rawatan kritikal.
Fafa menangis kerana langsung tidak dapat membantu kawannya yang diterkam oleh raksasa petang tadi. Raksasa seperti serigala tadi sebenarnya seorang penduduk di kawasan berhampiran sekolah. Dia juga telah berubah menjadi raksasa kerana telah pergi ke Festival Thai semalam dan wajahnya telah dilukis oleh Pelukis Hidup. Dia menyerang sekolah dan kawasan sekitar sekolah tersebut.
"Maaf Wa, maafkan aku." rintih Fafa sedih. "Kaulah adik, kaulah kakak aku Wa. Aku sayangkan kau. Aku sanggup buat apa sahaja untuk kau. Aku nak kau sembuh."
Mereka berdua telah dibesarkan bersama-sama kerana berasal dari kampung yang sama. Fafa sangat menyayangi Azwa memandangkan dia merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Jadi, Azwa ialah satu-satunya teman sepermainannya sejak kecil.
"Ini semua salah Milah dan Dilan. Milah tak bantu pun kau Azwa, dia jahat. Kalau kita balik awal mesti semua ni tak akan berlaku, kan. Ini semua salah Dilan, sebab aku beria-ria nak bagi surat dekat dia. Kau nak balik awal kan tadi, tapi sebab Dilan, kita duduk situ lebih lama. Tak guna, tak guna!" jerit Fafa kuat kerana geram. Kemudian, bunyi pintu biliknya diketuk.
"Fa, janganlah macam ni. Marilah turun dan makan. Fa, Mak tahu Fa sedih, tapi Fa kenalah teruskan hidup. Berdoa dekat Tuhan, masa-masa macam ni Fafa sepatutnya bergantung pada Tuhan." pujuk Ibunya di luar pintu bilik.
Fafa sekadar mendiamkan dirinya. Air mata yang keluar diseka laju. Dia mengalih pandangan ke luar tingkap.
"Fa?" panggil Ibunya lagi.
"Fafa dah kenyang."
Ibunya mengetap bibir dan akur. Dia berlalu pergi dari situ. Fafa bangun dan duduk di atas katilnya. Dia menatapi gambar Azwa yang sedang dipegang olehnya itu. Kemudian, dia terdengar bunyi ketukkan di luar tingkap biliknya.
Dia terperanjat dan terus menoleh ke arah tingkap tersebut dengan wajah takut. Fafa menelan air liur. Dia memerhatikan cermin tingkapnya itu. Namun, tiada apa-apa pun diluar. Dia bingkas bangun dan menarik kain langsir untuk menutupi cermin tingkap tersebut kerana takut sesuatu yang tidak diingini dilihat olehnya.
Bilik Fafa berada di tingkat dua. Jadi, mustahil manusia yang mengetuk cermin tingkapnya. Fafa duduk di atas katil bujangnya kembali sambil memeluk gambar Azwa. Namun, dia terdengar bunyi ketukkan untuk kali kedua. Kali ini lebih kuat. Fafa terbangun dari duduknya dan memerhatikan tingkap yang kini dilitupi kain langsir.
Nafasnya menjadi laju secara tiba-tiba kerana adrenalinanya mula dirembes banyak. Jantungnya berdegup kencang. Bunyi ketukkan itu berhenti. Keadaan menjadi jeda untuk seketika. Namun, lima puluh saat selepas itu, bunyi ketukkan ketiga kedengaran lagi dan kali ini ia lebih kuat dan laju seolah-olah seseorang cuba untuk memecahkan cermin tingkapnya.
"Fafaa..." Sesuatu telah memanggil nama Fafa di luar tingkap tersebut.
Fafa membeliakkan mata dan berlari ke arah pintu biliknya. Dia ingin keluar dari situ. Dia cuba untuk membuka pintu tersebut, namun pintu itu ditutup rapat. Dia tidak berjaya membukanya. Lampu biliknya pula tiba-tiba terpadam. Bilik itu menjadi gelap-gelita.
"Makkkkk!"
"Fafaa...bukalah tingkap ni."
Pujuk suatu suara dengan nada perlahan dan seperti berbisik. Fafa menggelengkan kepalanya dan menutup telinga menggunakan kedua-dua tangan.
"Fafa, kau nak selamatkan Azwa, kan. Aku akan tolong kau." kata suara itu lagi.
Mendengar jawapan suara itu, Fafa membuka matanya perlahan-lahan. Gelap. Dia tidak dapat melihat sesiapa pun di dalam bilik itu.
"Engkau siapa?"
"Aku? Akulah suara hati kau. Hahaha! Aku gurau aje. Aku Zess. Aku akan tolong kau selamatkan Azwa tetapi, dengan syarat. Setuju?"
"Kau betul-betul wujud ke? Kalau betul kau wujud, munculkan diri."
"Tidak Fafa. Kau hanya akan nampak aku jika kau bersetuju." balas Zess sinis. Fafa mendiamkan diri untuk seketika. Dia sedang berfikir.
"Jika betul kau boleh selamatkan Azwa, buktikan."
"Aku dah kata, dengan syarat."
"Apa syaratnya?"
"Aku perlukan korban. Tiga orang. Nyawa dibalas dengan nyawa dan untuk selamatkan Azwa, aku perlukan tiga nyawa. Macamana?" duga Zess sinis. Dia mengukirkan senyuman sinis.
"Kau nak aku membunuh?"
"Kita, bukan kau seorang. Aku akan bertanggungjawab untuk pengorbanan tu. Macam nilah, aku akan berterus-terang. Aku telah disumpah menjadi Ular-Man. Dua puluh dua tahun yang lalu, seseorang telah sumpah aku menjadi Ular-Man. Sumpahan itu akan terungkai sekiranya aku mengorbankan TIGA nyawa manusia berdosa kepada orang yang sama, iaitu kau. Kau ada sebut nama Milah dan Dilan, kan? Kau hanya perlu mencari seorang lagi manusia yang membuat silap pada kau. Selepas pengorbanan itu selesai, aku bebas, kau bebas dan Azwa selamat. Macam mana?"
"Ular-Man? Macam Spider-Man dan Superman pulak. Kenapa Ular-Man?"
"Dia ni, kenapa nama Ular-Man itu pula yang dia risaukan. Apa dia tidak dengar tawaran aku." bisik hati Zess geram.
"Haish. Ular-Man tu ringkasan daripada ULAR MANusia atau ular yang berbentuk separa manusia. Ular-Man! Olienpiece memanggilnya Ular-Man." balas Zess geram. "Puih, susah betul cakap dengan orang lembap ni." bisik hatinya sekali lagi.
"Olienpiece?"
"Aduh. Salah pilih mangsalah aku ni. Itu bukan hal pentinglah Fafa!" getus hati Zess dengan tidak berpuas-hati sambil menepuk dahinya.
"Olienpiece itu ialah tempat tinggal aku, macam kau di Bumi. Kau setuju? Saat kau bersetuju, kau boleh nampak wajah cantik aku ni."
Fafa mengetapkan bibirnya dan barulah dia mengangguk. Zess tersenyum. Anggukkan Fafa telah membuatkan Zess muncul di hadapan Fafa dengan sekelip mata. Fafa membeliakkan matanya. Dia dapat melihat seekor ular mempunyai separuh badan seperti manusia. Kepala Zess seperti manusia namun dia botak dan berwarna biru. Badannya pula bersisik-sisik dan mempunyai dua tangan serta ekor seperti ular. Tanggannya pula sepanjang 100cm dan mempunyai kuku yang panjang.
"Hodohnya!"
Pekik Fafa sambil membuat wajah jelik. Cahaya dari lampu meja biliknya menerangi serba sedikit bilik yang gelap itu.
"Tak guna punya budak." getus hati Zess dengan senyuman yang menawan walaupun dia sebenarnya kegeraman.
"Um, jika sumpahan ni terungkai, kau akan dapat melihat betapa cantiknya aku." kata Zess yakin dan teruja.
"Ya ke? Sebab saya tak tahan tengok wajah awak yang macam cicak komodo ni."
"Sakitnya tuh di sini di dalam hatiku. Tak guna!" Zess bermonolog dalaman.
"Um, pertama sekali aku bukan cicak ya. Aku ular. ULAR-MAN!!!"
Jerkah Zess dengan garang. Fafa terperanjat dan mengangguk faham. Dia takut apabila melihat Zess marah. Zess tersenyum.
"Sekarang ni kau baca benda ni." arah Zess sambil memberikan Fafa secebis kertas yang bertulis beberapa patah perkataan. Fafa mengambilnya dan mula membacanya.
"Aku menerimamu."
Namun, tiba-tiba Zess berubah menjadi asap berwarna hitam dan memasuki tubuh badan Fafa melalui mulut Fafa. Fafa menelan asap itu secara paksa. Matanya terbuntang dan mulutnya pula ternganga luas semasa Zess memasuki badannya. Seminit kemudian, lampu terpasang kembali dan keadaan menjadi seperti sedia kala.
~ ~ ~
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...