...
Pukul 9.00 malam, rumah agama milik Ayuri,
AYURI meneliti jam tangan yang diberikan oleh Hitam kepadanya pada pagi tadi di atas katilnya. Pagi tadi, saat dia bersembunyi di tepi kolam hospital dia dapat melihat Hitam kembali semula ke situ. Hitam dapat melihat dia bersembunyi di sebalik kolam itu dan telah menghampirinya.
######
Pagi tadi, di kolam berhampiran bangunan hospital,
SELEPAS berlari dengan laju, Hitam berhenti di dalam kawasan hospital. Dia menarik nafas dahulu sebelum memulakan perjalanan. Pada saat itulah, dia dapat melihat Ayuri yang masih bersembunyi di kolam. Dia mendekati Ayuri dan mula bersuara,
"Hei, asal kau masih di sini? Aku suruh kau lari tadi, kan." soal Hitam garang sambil tangan kirinya memegang bahagian abdomen di sebelah kiri.
"Er, saya...saya pun tak tahu kenapa saya tak lari. Sa-saya panik, jadi kaki saya tak dapat bergerak."
"Huh, apa-apalah. Mana si berkaca mata hitam tu?" soal Hitam dan bertanyakan tentang Roy Azrai. Dia memerlukan Roy pada waktu-waktu genting begini.
"Dia sedang tolong orang dalam hospital dan suruh saya balik."
"Jadi, kenapa kau masih lagi tak balik-balik? Nak mati awal ke?"
"Mana adalah, saya...um, awak okey?" Soalnya dengan wajah risau apabila melihat keadaan Hitam tidak begitu baik.
Hitam mendiamkan dirinya untuk sementara dan kemudian membuka jam tangannya. Setelah itu, dia menghulurkan ia kepada Ayuri. Ayuri kepelikan.
"Apa ni?"
"Aku nak minta tolong kau pegangnya sekejap, Ayu. Esok lusa aku akan datang ambilnya semula. Tetapi, janji dengan aku sesuatu. Jangan sesekali memberitahu perkara ini kepada orang lain termasuklah kepada orang yang kau paling percayai." Ujar Hitam dengan bibirnya yang mula putih membiru.
Dahinya juga mula berpeluh. Abdomennya mula terasa sangat sakit. Tadi, rasa sakit itu tidak begitu kuat. Tetapi, setelah menamatkan larian lajunya tadi, dia terus terasa sakit di situ. Ayuri memandang huluran tangan Hitam itu dahulu dan kemudian mengangguk faham, lalu menghulurkan tangannya pula. Hitam melepaskan jam itu di atas tangan Ayuri. Pada saat ia jatuh ke tangan Ayuri, Al-Harara di hadapan Imiraldi mula hilang dengan perlahan-lahan.
Sebenarnya, itulah rancangan Hitam apabila dia meninggalkan Al-Harara dengan Imiraldi tadi. Dia tahu Imiraldi merancangkan sesuatu dan dia juga tahu Imiraldi tidak berlawan dengan serius pun. Apa yang Imiraldi mahu ialah Al-Harara memunculkan dirinya. Tetapi, Hitam masih tidak tahu apakah sebabnya. Oleh yang demikian, Hitam membuat rancangan dengan mengaplikasikan Peraturan Tiga Hari yang pernah diberitahu oleh Hash tempoh hari sebagai langkah berjaga-jaga.
Jadi, pada saat batu permata Naga Api berada dalam genggaman Ayuri, ia bermakna Ayuri ialah pemegang Naga Api baharu yang sementara. Hitam perlu mengambil batu itu dari tangan Ayuri sebelum tiga hari berlalu. Jika tidak, Hitam tidak akan dapat menjadi pemegang Naga Api lagi.
Sebaik sahaja Hitam menyerahkan jam loket yang menyimpan batu permata Naga Api kepada Ayuri, dia mengambil telefon dan cuba menelefon Dilan, tetapi Dilan tidak mengangkatnya. Dia menelefon Azhann atau Joshua pula. Namun, abangnya turut tidak mengangkat panggilannya. Tiba-tiba bunyi yang kuat datang dari atas bumbung hospital, jadi Hitam terus memandang ke atas.
"Dilan..." bisik hati kecil Hitam sambil memandang ke atas bumbung hospital.
Oleh itu, dia berjalan melepasi Ayuri dan dapat mendengar suara Ayuri yang memberitahunya untuk berhati-hati. Dia tidak dapat berlari laju kerana batu permata itu tidak berada di dalam genggamannya lagi. Dia juga tidak dapat belari walaupun berlari anak kerana kecederaan dalamannya itu. Jika dia terlalu menekannya, dia risau ia semakin parah dan menyakitkannya.
Dengan keadaannya sekarang, dia tahu dia tidak dapat melindungi sesiapa, tetapi dia tidak boleh biarkan Puteh dan yang lain seorang diri. Jika mereka ditakdirkan untuk mati di situ, biarlah dia mati bersama-sama mereka. Dia tidak mahu memikul beban dan perasaan serba salah itu lagi. Perasaan sama yang dia bawa semenjak kematian Tuan Arifan. Ia tidak pernah hilang pun. Arifan ialah orang yang dia sangat segani dan kagumi.
######
Masa sekarang, di bilik Ayuri,
AYURI terbaring di atas katil sambil menggigit bibir. "Macam mana lelaki itu mahu mengambilnya dari aku. Dia tidak minta alamat rumah aku pun. Dia kenal aku ke? Tapi...dia panggil aku Ayu tadi. Kejap!"
Ayuri menukar posisi baring ke posisi duduk. Dia duduk di atas katilnya dan memikirkan tentang sesuatu. "Hanya seorang sahaja yang panggil aku Ayu di dunia ini. Zull. Ya, lelaki tak guna itu aje yang panggil aku Ayu. Aku selalu suruh dia panggil aku Ayuri atau Cik Ayuri, tetapi dia tetap panggil aku Ayu. Maksudnya...Eeeeuuuuu!" Ayuri terus melompat dari katil dan mengambil komik yang disain oleh Hitam tadi.
Kemudian, dia melemparkan komik itu ke atas lantai dan memijak-mijaknya. Tetapi, dia berhenti dari melakukannya apabila teringat akan sesuatu.
"Kejap, macam mana kalau tekaan aku salah dan Zull serta Hitam itu adalah orang yang berbeza? Dan, Hitam panggil aku Ayu sebab aku ni ayu dan cantik? Ahahahaha! Sebab aku memang cantik serta ayu pun. Aku bijak, kaya, popular. Pokoknya, aku pakej yang lengkap. Lagipun, aku tak patut pijak buku ni sebab Hitam semata-mata, sebab dalam buku ni pun ada autograf Kuning dan Oren. Happy-nya! Hari ini adalah hari yang paling menggembirakan aku. Aku cuma perlu minta tandatangan Biru, Hijau, Merah, Puteh, Ungu, Maroon dan Kelabu aje lagi. Aku harap aku dapat bertembung dengan mereka semua lagi. Hahaha!" Ayuri meloncat gembira dan menghempaskan badannya ke atas katil semula.
Sebenarnya, selepas dia menyelamatkan Oren dan Kuning, dia telah meminta mereka menandatangani komik jumbo itu juga. Namun, lamunannya itu terhenti apabila Liyana tiba-tiba sahaja memasuki biliknya. Ayuri kalut untuk menyembunyikan buku itu dengan cepat dan terpaksa menyembunyikan ia di bawah bantalnya.
"Liya, kau tak pandai ketuk pintu ke?" marah Ayuri dan mengetapkan bibir tanda geram.
"Ops, maaf. Aku ketuk sekarang." balas Liyana terus keluar dari bilik itu semula dan mengetuk pintu Ayuri sebanyak 3 kali. Ayuri tidak menjawabnya, jadi Liyana masuk tanpa izin.
"Aku dah ketuk tapi kau tak jawab apa-apa pun? Merajuk ke?" soal Liya tersengih-sengih. Dia membawa dua cawan air Nescafe Latte dan duduk di atas katil Ayuri.
"Mana ada, aku terkejut tadi. Lain kali ketuk, jangan sampai aku ketuk kepala kau dengan senduk." ujar Ayuri memuncungkan mulutnya pula.
"Okeylah Tuan Puteri. Nah, aku buat. Sedap tu." Liyana menyerahkan satu cawan Nescafe Latte tadi kepada Ayuri, yang dia punya pula dihirup dengan perlahan-lahan.
"Malam-malam macam ni minum nescafe, tak nak tidur ke?" soal Ayuri pelik. Liyana mengelengkan kepalanya.
"Aku nak buat eksperimen dahulu, selepas itu baru tidur."
"Elok sangatlah kau berkawan dengan budak kelas kita si Ayumi tu." kata Ayuri dan meletakkan cawan nescafe itu ke meja mekap yang berada bersebelahan katilnya. Dia tidak suka minum nescafe malam-malam, namun tidak ingin menolak air itu kerana takut Liyana berkecil hati memandangkan Liyana adalah seorang yang sensitif.
"Ayumi? Siapa tu?"
"Orang gila yang gilakan eksperimen macam kau. Kau patut berkawan dengan dia. Ada ke patut dia gelar aku sampah masyarakat." saran Ayuri dan kemudian membebel ringkas mengenai Ayumi yang pernah memanggilnya sampah masyarakat. Liyana menggelengkan kepalanya.
"Tak seronok berkawan, biar kau jelah satu-satunya kawan aku. Kejap, dia panggil kau sampah masyarakat?" sorak Liyana dengan nada menyeramkan. Dia tidak suka seseorang menyakitkan sepupunya itu.
"Er, tak ada apa-apalah. Aku nak tidur dulu." Sangkal Ayuri pula kerana muka sepupunya tadi agak menakutkan. Ayuri meletakkan kepala ke atas bantal dan menarik selimut tanda dia mahu tidur.
Liyana sekadar tersenyum dan menepuk bahu Ayuri. Dia tidak mahu mengacau Ayuri lagi dan keluar dari bilik itu dengan perlahan-lahan. Sebelum keluar, dia sempat menutup lampu bilik Ayuri. Pada mulanya, Ayuri tidak mahu melelapkan matanya lagi kerana dia belum memakai rutin penjagaan kulitnya dahulu. Namun, oleh sebab kepalanya sudah berat kerana mengantuk, akhirnya dia tertidur pada malam yang nyaman itu.
~ ~ ~
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasíaSepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...