...
LIAM (21) melihat keputusan peperiksaannya. Dia beriak sedih. Dia gagal dalam peperiksaan akademik dan pengawalan kuasa. Jika ia berterusan, dia akan disingkirkan dalam APR. Dia tidak tahu di mana silapnya di dalam peperiksaan akademik. Jawapannya yang betul ditanda sebagai salah dan dipangkah besar.
Di dalam peperiksaan pengawalan kuasa pula, dia hanya mendapat satu sahaja peluang untuk berlatih. Manakala, kawan-kawan sekelasnya mendapat tiga peluang untuk berlatih. Ianya seolah-olah seluruh akademi itu tidak ingin dia berjaya. Semua orang di istana dan APR mengetahui asal-usulnya sebagai gelandangan dan anak buangan. Dia berada di situ kerana Putera Must.
Dia tidak boleh disingkirkan kerana dia telah membuat perjanjian dengan Putera Must untuk menjadi orang yang paling kuat di dalam Olienpiece dan melindungi Putera Must. Dia harus kotakan janjinya.
Dia melipat keputusan itu dan memasukkannya ke dalam poket. Dia ingin berlatih sendiri di hutan belantara. Dia tidak mempunyai kawan di dalam APR kerana rata-rata mereka semua menjauhinya. Dia tidak dapat melakukan apa-apa mengenai hal itu. Lebih baik dia meneruskan apa yang dia telah impikan sebelum ini.
Selama 6 tahun dia berada di dalam APR dia berjuang seorang diri dan selalu gagal. Airez yang merupakan anak kepada Jeneral bakal menjadi graduan pada tahun hadapan dan berkemungkinan bakal menjejaki langkah ayahnya iaitu menjadi seorang Jeneral. Liam tidak nafikan yang dia amat mencemburui Airez. Namun, dia bersyukur dengan apa yang dia ada. Dia ada Tuan Muslim yang selalu melayannya dengan baik dan sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Saat dia berada di dalam kegelapan dan hampir berputus-asa semasa menjadi gelandangan ketika berumur 12 tahun, Tuan Muslim telah menyambut tangannya. Ia seolah-olah, dia telah terjatuh ke dalam curam yang tinggi, namum sempat disambut oleh Tuan Muslim. Oleh sebab itulah, dia telah mengidolakan Tuan Muslim. Dia hidup untuk Tuan Muslim.
'Pakk!'
Anak panah yang dia lepaskan mengenai sasaran. Dia melepaskannya sekali lagi dan semua anak panahnya terkena sasaran. Tepat, jitu dan konsisten. Liam menarik nafas panjang dan berlatih menggunakan kuasanya pula. Kuasa menyeru angin, air, tanah dan api. Dia telah menguasai keempat-empat unsur.
Namun, tiada sesiapa yang pernah mengetahuinya termasuklah Tuan Muslim. Pihak APR juga tidak pernah mengetahui akan kuasanya itu. Hal ini kerana, dia tidak berpeluang pun untuk menunjukkan kuasanya itu. Mereka semua memilih kasih dengannya.
Mereka juga selalu menolaknya, mengejek dan menghalaunya keluar dari kelas. Selama ini dia terpaksa belajar sendiri. Hal itu telah menyebabkan dia berusaha lebih keras berbanding yang lain. Cita-citanya untuk menjadi orang terkuat di dalam Olienpiece telah membuatkan dia menjadi begitu fokus.
Akhirnya, dia berjaya mengawal keempat-empat unsur. Dia juga terkejut dengannya. Namun, ia merupakan usahanya yang tidak pernah berputus-asa, selalu berlatih dan sentiasa fokus dengan impiannya untuk melindungi Tuan Muslim.
Di Olienpiece, rakyatnya boleh mengawal 1 sehingga 4 unsur. Seseorang yang dapat mengawal 1 unsur berada dalam kalangan rakyat biasa, jika mempunyai 2 unsur pula, mereka boleh menyertai tentera atau memasuki kawasan istana. Jika, mampu mengawal 3 unsur pula, mereka akan diiktiraf sebagai seorang yang HEBAT, dan jika mempunyai 4 unsur maka orang itu adalah yang paling KUAT.
Setakat ini, tiada sesiapa lagi yang mampu mengawal 4 unsur selain TUANKU RAISHO, pemerintah terkuat dan paling disegani di pelosok Olienpiece. Pemilik sebenar TAKHTA TERTINGGI OLIENPIECE. Dan hanya dua orang sahaja yang pernah mengawal kuasa 3 unsur.
Pertama ialah Raja Mar dan kedua ialah Raja Merak. Mereka ialah moyang Mazhe. Kuasa TAMBAHAN pula, boleh dipelajari di dalam akademi. Kuasa tambahan boleh meliputi kuasa seperti lohong hitam, worsikel, cermin dua muka dan seerti dengannya.
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...