MAROON mendahului perjalanan. Hijau mengikutnya dari belakang. Mereka berdua bertemu sebaik sahaja Maroon menjejakkan kaki ke dalam sarkas tersebut. Sekarang ini mereka sedang berjalan-jalan di sebuah perkampungan yang misteri dan tiada sesiapa pun di situ. Suasana di tempat itu pula pada tengah malam. Di atas bukit berdekatan, mereka dapat melihat sebuah istana dan ternampak sumber cahaya di situ. Oleh itu, mereka berdua mengambil keputusan untuk berjalan ke sana. Mereka berdua langsung tidak bercakap selama 10 minit dan ia mula membuatkan Maroon rasa kekok.
Selalunya dia yang pendiam di dalam kumpulannya, tetapi situasinya sekarang sangat sunyi, sudahlah tempat itu pun sunyi. Apakah yang patut dia buat sedangkan dia memang tidak suka berbual-bual kosong? Maroon menggerutu di dalam hatinya dan memikirkan topik untuk dia bicarakan dengan Hijau yang masih mengikutnya di belakang. Walaupun dia seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi dia tidak sukakan suasana yang sunyi.
Dia akui, walaupun dia tidak suka berada di rumah sewa itu dengan adanya Joshua dan Zull yang bising, dia tetap ada rasa seronok tinggal di situ. Dia juga sukakan kehadiran Joshua kerana Joshua seorang yang tidak habis 'modal' untuk bercakap. Ada sahaja topik yang dia akan bangkitkan dan bercerita kepadanya. Ada topik yang menarik minatnya dan ada topik yang tidak. Topik yang kurang diminatinya, dia tidak akan membalas dengan banyak, jadi Joshua akan faham dengan reaksi itu dan akan mengubah topik yang lain.
"Um..." Maroon mula mengeluarkan suaranya.
"Ya? Ada apa-apa ke?" pantas Hijau menjawab.
"Bulan sangat cantik hari ni."
".............." Hijau mendongak ke atas dan tidak melihat bulan pun di langit malam tersebut. Adakah dia yang tidak melihat bulan itu? "Er, ya. Ia sangat cantik." Balasnya walaupun dia tidak melihat bulan itu. Kalau dia jawab 'tidak', nantikan Maroon ingat dia rabun. Tapi, memang dia rabun pun.
"Dah berapa lama awak jadi Night Stalkers?"
"Um, sudah empat bulan. Awak?"
"Mungkin sudah 2-3 bulan. Saya ahli yang terakhir dalam TBM."
"Oh ya saya ingat, sebab sebelum ni hanya ada Puteh, Hitam dan Kelabu aje."
Maroon mengangguk tanda mengeyakannya. "Apa pendapat awak tentang semua ini?"
"Semua ini? Maksudnya tentang melawan Raidez ke?"
"Ya."
"Sa-saya tak tahulah macam mana nak cakap, tapi ia agak menyeronokkan. Ta-tapi, awak janganlah salah faham. Sa-saya hanya suka apabila berjuang bersama-sama kawan dan sahabat baik saya. Macam mana ya...Um, ia seolah-olah watak saya agak penting dan saya berguna untuk orang lain. Saya suka bahagian itu pada diri dan keadaan saya sekarang. Namun, apabila lawan kita sudah semakin kuat, saya jadi semakin takut. Macam mana dengan awak?"
Maroon hanya mendiamkan dirinya. Dia bertanyakan sesuatu yang dia tidak ada jawapannya. Kemudian, Maroon berhenti apabila sudah memasuki kawasan istana. Pintu gerbang istana terbuka luas dan langsung tiada pengawal, jadi mereka berdua memasuki kawasan istana tanpa apa-apa masalah. Tempat itu gelap kerana suasana malam, tapi Maroon menggunakan Pedang Kilatnya sebagai sumber cahaya atau lampu untuk menyuluh.
Sebenarnya, dari tadi lagi Maroon lagi memikirkan tentang dalang disebalik kejadian ini. Adakah ada sesiapa yang mempunyai kuasa seperti ini, iaitu menghantar mereka ke suatu tempat, walhal tadi mereka berada di dalam sarkas? Namun, Maroon tidak dapat meneka sesiapa di dalam Raidez yang mempunyai kuasa seperti ini. Dia menyalahkan ingatannya kerana mudah lupa akan perkara begini. Tapi, ia logik kerana bukan semua manusia mampu mengingati apa yang dibaca oleh mereka.
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...